Thursday, 20 January 2022

updated 2:39 AM UTC, Jan 20, 2022

KPM komited pastikan persekolahan secara bersemuka sepanjang 2022

  • Published in Semasa

PUTRAJAYA, 14 Januari - Prosedur operasi standard (SOP) di sekolah akan dipantau rapi bagi memastikan sesi persekolahan secara bersemuka dapat dilaksanakan sepanjang tahun ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, pihak kementerian juga membekalkan kit ujian kendiri COVID-19 bagi membolehkan ibu bapa memantau status kesihatan anak mereka.

"10% murid sekolah rendah melaksanakan saringan menggunakan saliva. Namun bermula minggu ini kita berikan saliva kitnya kepada ibu bapa untk dibawa balik dan dilaksanakan di rumah.

"Ibu bapa perlu memastikan ujian tersebut betul-betul dibuat dan melaporkan keputusan kepada pihak sekolah", kata Radzi dalam sidang media selepas menyampaikan amanat dalam Program Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan kepada warga Kementerian di sini.

Beliau berkata pihaknya juga akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan pelajar dapat hadir bersemuka ke sekolah walaupun menyedari terdapat risiko peningkatan jangkitan COVID-19.

"Sekolah ni kadang-kadang apabila mula dibuka, dah mula rasa selesa. Jadi kita dah minta pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah memastikan SOP sentiasa dipatuhi terutama pemakaian pelitup muka dan pengudaraan.

"Pengudaraan merupakan satu lagi komponen yang kita sentiasa tekankan bukan sahaja dalam kelas tetapi termasuk di bilik guru dan bilik khas," katanya.