Thursday, 20 January 2022

updated 1:23 AM UTC, Jan 20, 2022

Hampir RM4 juta disalur KPT untuk bantu individu terjejas banjir

  • Published in Semasa

PARIT SULONG, 14 Januari - Hampir RM4 juta telah disalur oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sejak Disember 2021 untuk membantu individu yang terjejas akibat banjir.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata bantuan itu berbentuk 43,806 kotak sumbangan merangkumi makanan dan keperluan asas dengan nilai sebanyak RM3,625,000 selain bantuan kewangan berjumlah RM364,000

Lebih 23,000 sukarelawan terdiri daripada kakitangan kementerian dan institusi pendidikan tinggi terlibat dalam misi bantuan berkenaan.

“Bencana banjir yang melanda negara pada pertengahan Disember tahun lalu telah menyebabkan ramai yang menanggung kerugian, susulan kerosakan pelbagai harta benda.

“Atas keprihatinan itu, Kementerian Pengajian Tinggi telah menggerakkan Misi Menyantuni Mangsa Banjir seawal 19 Disember 2021", kata belau.

Noraini menambah, penyaluran sumbangan dan operasi bantuan banjir KPT ini melibatkan enam buah negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Pahang dan Johor dengan lebih daripada 20 buah daerah, termasuk dua daerah angkat, iaitu Kuala Langat di Selangor dan Temerloh di Pahang.

"Misi bantuan ini diteruskan pula hari ini dan semalam ke Mersing dan Pagoh di Johor apabila sebanyak 2,500 kotak bantuan keperluan asas diagihkan kepada mangsa mereka yang terkesan.

“Kotak bantuan kali ini merupakan sumbangan daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 9 fasiliti institusi pengajian tingg iaitu enam universiti awam serta tiga politeknik dan kolej komuniti turut dijadikan sebagai Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang menempatkan 1,320 penduduk berhampiran.