Tuesday, 16 August 2022

Jualan Keluarga Malaysia diperluas ke Perlis

  • Published in Semasa

KANGAR, 4 Disember – Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob Khamis lalu kini diperluaskan ke Perlis.

Buat permulaan, program berlangsung di Bintong dalam kawasan Parlimen Kangar yang akan dilaksanakan dua kali sebulan untuk tempoh 3 bulan sehingga Februari tahun depan termasuklah di Parlimen Padang Besar dan Arau.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis, Norazah Jaapar, program yang dikendalikan pihaknya merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dari kalangan berpendapatan rendah.

Program ini merupakan kerjasama di antara KPDNHEP bersama pelbagai agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

Antara agensi terbabit ialah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA);Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Nelayan Negeri Perlis (PELARIS), Pertubuhan Peladang Kawasan Bintong (PPK Bintong), Nas Madi Processing Sdn. Bhd. Advance Chicken Processing Sdn. Bhd., Koperasi Wahida HPA Berhad, Al-Haddad Industries Sdn. Bhd dan NFS AMG Trading.

Program Jualan Keluarga Malaysia diharap dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat pengguna khususnya di negeri ini untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah.