Logo

MET Malaysia keluar amaran, hujan lebat di Pantai Timur dijangka berterusan

PUTRAJAYA, 3 Disember - Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), hari ini mengeluarkan Amaran Cuaca Buruk (peringkat jingga) dan Amaran Cuaca Waspada (peringkat kuning) untuk beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu.

Hujan lebat yang kini melanda melanda beberapa kawasan di negeri Pantai Timur juga dijangka berlarutan dan keadaan dijangka semakin buruk.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, Amaran Cuaca Buruk dikeluarkan untuk sembilan kawasan di Kelantan.

Ia membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Amaran sama turut dikeluarkan untuk negeri Terengganu membabitkan kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus serta Kuala Terengganu.

Amaran Cuaca Waspada pula membabitkan daerah Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman di Terengganu serta tiga daerah di Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin.

Amaran Cuaca Waspada turut dikeluarkan untuk dua daerah di Johor iaitu Mersing dan Kota Tinggi.

Menurut kenyataan itu, angin bertiup dari arah timur laut dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah di kawasan terbabit.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.