Thursday, 20 January 2022

updated 1:58 AM UTC, Jan 20, 2022

Tiada saksi beri keterangan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terima suapan atau ada unsur rasuah babitkan Yayasan Akalbudi

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 30 November - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu tiada seorang pun saksi memberi keterangan bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah diberi suapan atau terdapat unsur rasuah dalam pembayaran membabitkan Yayasan Akalbudi.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, keterangan saksi pendakwaan secara konsisten menyatakan pembayaran kepada yayasan itu adalah untuk tujuan kebajikan dan sumbangan politik.

Pada prosiding siang tadi, Hisyam berkata, saksi ke-81, Omar Ali Abdullah tidak melakukan sebarang kesalahan perbankan.

Pihak Pendakwaan menyatakan wang sumbangan Omar Ali ke akaun pemegang amanah Yayasan Akalbudi adalah hasil daripada aktiviti haram.

Namun menurut Hisyam, pihak pendakwaan gagal mengenal pasti bentuk aktiviti haram yang dimaksudkan dan mengesahkan sumbernya.

Sementara itu, Pengarah Bukan Eksekutif MyEG Services Sdn Bhd, Mohd Jimmy Wong Abdullah dalam keterangan sebelum ini turut menyatakan sumbangan lebih RM9 juta kepada Yayasan Akalbudi atas tujuan kebajikan dan keagamaan.

Malah tidak mempunyai kaitan langsung dengan syarikat MyEG Services.

Hisyam berkata demikian dalam hujah balas di akhir kes pendakwaan terhadap Presiden Umno itu yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, jenayah rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.