Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

SPRM nasihat orang ramai tidak hantar surat layang, dakwaan tidak berasas akan aniaya pihak dituduh

  • Published in Semasa

ALOR SETAR, 25 November - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menerima banyak aduan berkaitan aktiviti rasuah, salah guna kuasa dan tuntutan palsu yang dihantar melalui surat layang kepada agensi itu setiap bulan.

Kesemua dakwaan dan maklumat yang disertakan dalam surat layang tersebut, disiasat dengan teliti bagi memastikan setiap tuduhan atau dakwaan yang dilemparkan berasas ataupun tidak.

Bagaimanapun Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap menasihatkan orang ramai agar tidak menghantar surat layang yang mengandungi tuduhan tidak berasas atau tidak lengkap.

Ini kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan penganiayaan terhadap pihak yang dituduh.

Katanya, pengadu perlu mengemukakan maklumat yang lengkap dan sahih bagi memudahkan siasatan dan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.

Datuk Shaharom Nizam berkata kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi SPRM Negeri Kedah Bersama Rakan Strategik Tahun 2021 di Pejabat SPRM Kedah di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Jabatan Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak media menerima sijil penghargaan atas kerjasama yang diberikan kepada SPRM sepanjang tahun ini.

Turut menerima penghargaan, RTM Kedah diwakili Timbalan Pengarahnya, Effa Dian Ali, wartawan RTM Kedah, Fakhrul Razi Ismail dan jurukamera RTM Kedah, Ahmad Rosli Aziz.