Monday, 18 October 2021

updated 4:33 AM UTC, Oct 18, 2021

Penutupan lorong MRR2, beri laluan pembinaan lebuhraya SUKE

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 24 September - Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd akan melaksanakan penutupan lorong dan pengaktifan laluan kontra sepanjang dua kilometer di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) selama enam bulan bermula hari ini.

Penutupan itu bermula di Kilometer 37.2 hingga Kilometer 39 iaitu di antara Persimpangan Persiaran Mewah dengan Pekan Sungai Besi.

Timbalan Pengurus Besar Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Dr Ir Zarulazam Eusofe berkata, penutupan itu dilaksanakan bagi memberi laluan kepada pembinaan lebuhraya SUKE.

Penutupan itu dilakukan untuk kerja-kerja pembinaan 11 unit tiang, kerja konkrit dan pemasangan tembok parapet yang akan merentasi MRR2.

Tindakan itu penting untuk memastikan jarak selamat antara pengguna jalanraya dengan tapak pembinaan.

Sepanjang tempoh pembinaan berlangsung, kedua-dua lorong pusingan U berhampiran Terminal Bersepadu Selatan dan tiga lorong Sungai Besi Bound (SBB) akan ditutup.

Aliran kontra dua lorong akan diaktifkan dari arah Ulu Kelang, manakala trafik menuju Ulu Kelang akan dialihkan menerusi susur keluar di TBS.