Monday, 18 October 2021

updated 4:33 AM UTC, Oct 18, 2021

Selepas tular perairan Langkawi dipenuhi sampah, 7 tan sampah hanyut berjaya dikutip

  • Published in Semasa

LANGKAWI, 21 September - Sebelum ini tular di media sosial pada 18 September lalu visual menunjukkan perairan Langkawi berhampiran perkampungan nelayan Bukit Malut yang dipenuhi sampah.

RTM Langkawi mendapatkan Setiausaha Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Noorul Azyyati Ahmad Salmi untuk menjelaskan berhubung perkara tersebut.

Menurut beliau, susulan visual tular di medium TikTok itu, pelbagai agensi kerajaan dan komuniti tampil menjalankan aktiviti pembersihan sampah hanyut berkenaan.

Hasilnya, lebih tujuh tan sampah berjaya dikutip di sekitar perairan Langkawi.

Badan lain yang turut serta melakukan pembersihan termasuk Pejabat Daerah Langkawi, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), SWCorp, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Laut Daerah Langkawi.

MPLBP juga bersedia menganjurkan kerja pembersihan bersepadu dengan kerjasama syarikat konsesi pembersihan, Environment Idaman (E-Idaman).

Juga akan melaporkan perkembangannya kepada Jawatankuasa Pengindahan Bandar yang menganggotai Pasukan Petugas Gelembung Pelancongan Langkawi.