Logo

Perlu kelulusan EIA sebelum sebarang aktiviti pembangunan dan pembersihan tanah di kawasan cerun

PUTRAJAYA, 19 September - Sebarang aktiviti pembangunan dan pembersihan tanah di kawasan berkecerunan melebihi 25 darjah tetapi kurang 35 darjah tanpa kajian dan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) akan dikenakan tindakan tegas.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, ia tertakluk di bawah aktiviti yang ditetapkan dalam Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015.

Dalam satu kenyataan beliau memaklumkan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan berlaku kerja pembersihan tanah dan penebangan pokok di kawasan cerun di Bukit Tabur, mukim Hulu Kelang, Selangor.

Jelasnya, kerja tanah telah dihentikan susulan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada 11 September lalu.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.