Monday, 18 October 2021

updated 4:33 AM UTC, Oct 18, 2021

Buaya 500kg ditangkap nelayan Bagan Ajam

  • Published in Semasa

BUTTERWORTH, 18 September - Seekor buaya ditemui sekumpulan nelayan di Jeti Nelayan Bagan Ajam, Pulau Pinang kira-kira pukul 6.45 petang semalam.

Kejadian disedari selepas mereka terlihat kelibat buaya timbul di permukaan air sebelum menaiki bot ke lokasi untuk menangkap reptilia berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor, bertindak atas maklumat yang diterima sepasukan polis dikerahkan ke lokasi.

Sebaik tiba buaya berkenaan sudah pun dibawa naik ke pantai berhampiran.

Katanya, kumpulan nelayan terbabit telah mengheret naik dengan menggunakan pukat pada jarak empat meter.

Pemeriksaan mendapati berat buaya berkenaan dianggarkan kira-kira 500 kilogram.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) sudah memindahkan buaya tersebut ke pejabat APM daerah Seberang Perai Utara sementara menunggu kehadiran Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut.

Terdahulu tular beberapa klip video menunjukkan nelayan menangkap seekor buaya menggunakan pukat di kawasan laut sekitar Bagan Ajam.