Thursday, 23 September 2021

updated 1:42 PM UTC, Sep 23, 2021

KWSP lancar dua inisiatif ringankan beban kewangan majikan

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 14 September - Dua inisiatif baharu dilancar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi meringankan pengurusan aliran kewangan majikan ketika tempoh pandemik.

Ia merangkumi pengecualian caj lewat bayar caruman dan tawaran insentif pengurangan caj lewat bayar (e-PaR).

Kenyataan KWSP memaklumkan, di bawah inisiatif pertama, majikan diberi kelonggaran untuk tempoh membayar caruman bulan semasa.

Manakala melalui e-PaR, majikan berpeluang mendapatkan pengurangan menyelesaikan baki caj lewat bayar yang tertunggak.

Pengecualian caj lewat bayar caruman merujuk kepada caj dikenakan ke atas majikan yang gagal membayar caruman wajib KWSP pada atau sebelum 15 hari bulan setiap bulan.

Inisiatif membolehkan majikan membayar caruman sehingga tarikh akhir setiap bulan tanpa dikenakan caj lewat bayar.

Majikan tidak perlu membuat sebarang permohonan bagi inisiatif ini yang akan berkuat kuasa secara automatik bermula caruman bulan September sehingga Disember 2021.

Inisiatif e-PaR pula menawarkan pengurangan sehingga 70% bagi caruman lewat bayar untuk mana-mana tempoh sebelum Ogos 2021.

Permohonan e-PaR dibuka sehingga hujung tahun.