Thursday, 23 September 2021

updated 1:42 PM UTC, Sep 23, 2021

JKKP diarah lakukan siasatan komprehensif insiden runtuhan perancah besi struktur pembinaan projek LRT3

  • Published in Semasa

PUTRAJAYA, 31 Julai - Susulan insiden runtuhan perancah besi struktur pembinaan projek LRT3 di Bandar Bukit Tinggi, Klang.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah mengarahkan pasukan pegawai penyiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan serta JKKP Selangor memulakan siasatan segera.

KSM memaklumkan siasatan komprehensif itu melibatkan Bahagian Kejuruteraan Forensik dan Bahagian Keselamatan Tapak Bina JKKP bagi mengenal pasti punca kejadian.

Siasatan juga bertujuan menentukan sama ada terdapat pelanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

Akta 514 memperuntuk setiap majikan perlu memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja semasa bekerja termasuk keselamatan orang awam yang berada di tempat kerja di bawah kawalannya.

KSM menegaskan bahawa pihaknya memandang serius terhadap setiap insiden kemalangan dan penyakit pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuk kes kemalangan membabitkan sektor pembinaan.

Seorang pekerja binaan warga Bangladesh maut manakala empat lelaki dalam lingkungan umur 30-an cedera ringan selepas perancah besi itu runtuh.