Sunday, 1 August 2021

updated 2:02 AM UTC, Aug 1, 2021

Ribut badai 6 kampung, 40 buah rumah rosak

  • Published in Semasa

PASIR PUTEH, 22 Julai - Seorang ibu tunggal mengalami kerugian ribuan ringgit setelah kediamannya dibadai ribut.

Kediaman itu antara 40 buah rumah melibatkan enam kampung di daerah Pasir Puteh, Kelantan yang mengalami kerosakan teruk setelah angin kuat membawa hujan air batu melanda perkampungan mereka kira-kira pukul 6:00 petang semalam.

Kampung terlibat ialah Kampung Pengkalan, Sungai Rasau, Wakaf Bunut, Kampung Nara, Hutan Jering dan Bukit Gedombak.

Visual ini dirakam ketika tinjauan di Kampung Hutan Jering dan Kampung Nara selepas ribut melanda.

Seorang penduduk, Siti Mariam Zakaria berkata dia mengalami kerugian lebih RM10,000 apabila bumbung rumahnya tercabut dan garaj kenderaan runtuh merosakkan beberapa perkakas elektrik dan sebuah motosikal.

Warga emas, Siti Minah Mamat pula menceritakan, dia amat takut dan bergegas ke rumah anaknya yang berada berhampiran rumah.

Katanya, ribut dan hujan lebat menyebabkan bumbung rumah tercabut, dinding rosak manakala ruang tamu digenangi air.

ADUN Limbongan, Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah ketika dihubungi memberitahu bantuan kecemasan telah disampaikan kepada penduduk terjejas menerusi Ziarah Cakna Mangsa Ribut di mukim terjejas sejak petang semalam sehingga malam tadi.