Logo

Orang ramai diminta waspada penipuan dalam talian menggunakan nama Pos Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Julai - Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan panggilan telefon, pesanan teks atau e-mel berunsur penipuan termasuk iklan jawatan kosong palsu yang menggunakan nama Pos Malaysia.

Pos Malaysia dalam kenyataan berkata, penipuan tersebut menjadi semakin tersebar dengan tujuan untuk memperdaya orang ramai dan mendapatkan maklumat seperti butiran kad kredit, kata laluan, maklumat akaun atau data peribadi lain.

Untuk itu Pos Malaysia menasihati orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat tersebut dengan tidak membalas apa-apa permintaan melalui telefon atau perkhidmatan pesanan teks (SMS/WhatsApp), e-mel atau kaedah lain.

Paling penting, tidak meneruskan pautan yang dihantar bersama mesej penipuan itu.

Pos Malaysia berkata wujud penipuan melalui e-mel dengan menggunakan nama dan logo Pos Malaysia tanpa kebenaran dan dihantar untuk menuntut pembayaran duti atau cukai kastam untuk pelepasan bungkusan.

Katanya e-mel seperti itu harus diabaikan atau dipadam dengan segera.

Selain itu, orang ramai juga diminta berwaspada dengan iklan jawatan kosong palsu yang menawarkan kerjaya di Pos Malaysia serta disaran mengesahkan maklumat dengan sumber yang sah.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.