Sunday, 1 August 2021

updated 2:02 AM UTC, Aug 1, 2021

Surat MITI tidak diterima di SJR untuk rentas negeri bagi tempoh empat hari

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 18 Julai - Polis tidak menerima dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh empat hari mulai hari ini hingga Rabu depan untuk pergerakan rentas negeri.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia susulan pihaknya mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari kebelakangan ini.

Semua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri diarahkan untuk meningkatkan penguatkuasaan, dan tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah.

Ini bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab daripada menyalahgunakan surat kebenaran MITI sebagai kelulusan merentas negeri untuk sambutan Hari Raya Aidiladha.

Bagaimanapun, Datuk Seri Acryl Sani berkata larangan tersebut tidak terpakai bagi urusan kecemasan dengan kebenaran polis, serta urusan kesihatan termasuk vaksinasi.

Jelasnya lagi, mana-mana pihak yang didapati melanggar larangan ini akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi dan masyarakat turut dinasihatkan untuk bersama memainkan peranan dalam melandaikan lengkuk jangkitan wabak COVID-19.