Sunday, 1 August 2021

updated 2:02 AM UTC, Aug 1, 2021

Permohonan asrama pekerja di kawasan perumahan tidak dibenarkan

  • Published in Semasa

PUTRAJAYA, 12 Julai - Sebarang permohonan untuk menjadikan kawasan perumahan penduduk sebagai tempat penginapan atau asrama pekerja asing adalah tidak dibenarkan.

Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan menegaskan, larangan itu terpakai di semua unit kediaman kategori kos rendah dan mampu milik, program perumahan rakyat (PPR), pangsapuri serta flat awam.

Kenyataan itu menyebut, pihak KPKT telah menyediakan Prosedur Permohonan Penginapan Pekerja Sementara Secara Jangka Pendek yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) pada 2 Mac lalu bagi menyelesaikan isu berkaitan penginapan pekerja.

Pekeliling khas berhubung perkara itu telah diedarkan kepada semua negeri pada 23 Mac lalu.

Ia untuk tujuan diterimapakai dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi tempoh tiga tahun sehingga 2023.

Kerajaan Negeri Selangor juga bersetuju untuk menerima pakai sepenuhnya prosedur tersebut.

Justeru, pihak PBT perlu menguatkuasakan prosedur itu mulai dari tarikh ia diterimapakai, dan bukannya pada tahun hadapan.

Penjelasan ini sebagai merujuk kenyataan EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail yang meminta kementerian menyediakan garis panduan untuk tidak membenarkan majikan menjadikan pangsapuri atau flat awam sebagai asrama pekerja asing.