Sunday, 1 August 2021

updated 2:02 AM UTC, Aug 1, 2021

Malaysia-Mesir sedia perkukuh kerjasama dua hala, tumpuan kepada aspek Politik dan Ekonomi

  • Published in Semasa

PUTRAJAYA, 18 Jun - Malaysia dan Mesir bersedia memperkukuhkan kerjasama dan hubungan dua hala, terutama dalam aspek politik dan ekonomi.

Hasrat itu disuarakan pemimpin kedua negara menerusi sesi perbincangan yang diadakan secara sidang video, semalam.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia mengeratkan semula hubungan dengan Mesir.

Cadangan turut disambut baik Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi yang turut menyarankan perbincangan antara pemimpin tertinggi kedua negara dilakukan segera.

Tan Sri Muhyiddin turut mengesyorkan kedua negara menandatangani perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif bagi memperkukuh hubungan perdagangan pada masa hadapan.

Sebagai antara negara pengimport minyak sawit negara yang terbesar di Afrika, Perdana Menteri turut menggalakkan Mesir meningkatkan import komoditi berkenaan.

Mesir merupakan rakan dagang negara yang terbesar di rantau Afrika Utara dengan nilai dagangan RM2.06 bilion tahun lalu.

Perbincangan turut menyentuh isu-isu serantau dan antarabangsa khususnya situasi terkini di Palestin.

Malaysia memuji peranan konstruktif Mesir sebagai broker dalam perjanjian gencatan senjata antara Palestin dan Israel.

Kerajaan Mesir turut menyatakan kesediaan membantu Malaysia menyalurkan bantuan kemanusiaan dan perubatan ke Palestin menerusi sempadan Rafah, yang menghubungkan Mesir dan Gaza.