Sunday, 1 August 2021

updated 2:02 AM UTC, Aug 1, 2021

Titah pandangan YDP Agong menjadi tanggungjawab kerajaan melaksanakannya

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 17 Jun - Menjadi tanggungjawab kerajaan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara, berhubung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong.

Penyandang Kursi Institut Raja-Raja Melayu UiTM, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, langkah susulan itu menggambarkan kesediaan kerajaan bagi merealisasikan titah-titah berkenaan.

Menyentuh mengenai Persidangan Dewan Rakyat Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, ia boleh diadakan selepas Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat dipenuhi, dan mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat antaranya menyatakan Ketua atau Timbalan Ketua Majlis, hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu.

Peraturan 11 ini juga menyatakan Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri boleh mengubah tarikh persidangan itu dari semasa ke semasa.

Profesor Datuk Dr Shamrahayu berpandangan satu perbincangan secara muafakat perlu berlaku antara Seri Paduka dan Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis, dalam menetapkan tarikh persidangan Parlimen berkenaan.