Sunday, 1 August 2021

updated 2:02 AM UTC, Aug 1, 2021

Tiada aktiviti pembalakan di kawasan Taman Eco Rimba Puncak Janing seperti yang tular - JPNK

  • Published in Semasa

KUALA NERANG, 14 Jun - Tiada aktiviti pembalakan sekitar kawasan Taman Eco Rimba Puncak Janing di Kuala Nerang, Kedah sehingga mengakibatkan sumber air masyarakat keruh seperti yang tular di media sosial Khamis lepas.

Sebaliknya, kekeruhan sumber air itu disebabkan aktiviti penyelenggaraan serta pembersihan jalan balak lama yang sedang dilaksanakan untuk kegunaan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK).

Kenyataan Pengarah JPNK Muhamad Abdullah memaklumkan, penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama itu ialah bagi kegunaaan kakitangan untuk menjalankan aktiviti pra pelesenan untuk kelulusan kawasan pembalakan di Kompartmen 42 dan kompartmen 43 Hutan Simpan Bukit Perangin.

Aktiviti itu telah menyebabkan kekeruhan kepada aliran anak sungai yang mengalir ke Taman Eco Rimba Puncak Janing.

Pada masa sama, taburan hujan yang agak tinggi di kawasan itu telah menyumbang kepada kekeruhan air sungai tersebut.

Bagi menangani masalah kekeruhan bekalan air masyarakat di situ, JPNK telah mengarahkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama tersebut dihentikan serta-merta.

Pada Khamis lepas, isu mengenai dakwaan berlaku aktiviti pembalakan di Taman Eko Rimba Puncak Janing tular di media sosial menerusi hantaran pemilik Facebook dikenali sebagai Lann Kopnai dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA).