Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Kerja pemulihan bagi pengoperasian penuh perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya diteruskan hari ini

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 26 Mei - Kerja pemulihan bagi pengoperasian penuh perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya susulan kemalangan Isnin lalu diteruskan hari ini membabitkan 50 kakitangan Prasarana.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan, selepas kerja menyelamat dan mengeluar mangsa pada hari kejadian, pasukan pemulihan serta-merta bertindak dengan membuat penilaian terhadap kerosakan dan diikuti dengan kerja-kerja awalan sebelum memulakan kerja-kerja pemulihan.

Tambahnya, bahagian mencabar adalah memisahkan gerabak-gerabak untuk kedua-dua tren dan menaikkan enam gerabak yang tergelincir kembali ke atas landasan.

Sehingga malam tadi, lima daripada enam gerabak berkenaan sudah berjaya dinaikkan.

Hari ini, kerja pemulihan tertumpu kepada gerabak terakhir dan kerja-kerja berkaitan proses mengeluarkan tren yang kemudiannya akan dibawa ke Depoh LRT Kelana Jaya di Subang.

Proses pengeluaran tren itu berjalan lancar dan keseluruhan proses akan selesai dalam masa tiga hari seperti diumumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.