Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Kecuaian manusia hanya satu daripada aspek siasatan nahas LRT Laluan Kelana Jaya

  • Published in Semasa

PUTRAJAYA, 26 Mei - Faktor manusia hanya satu daripada aspek dalam siasatan insiden membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya kelmarin.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi satu kenyataan memaklumkan siasatan keseluruhan turut mengambil kira faktor teknikal dan pengoperasian insiden itu.

Jelasnya, jawatankuasa siasatan peringkat kementerian yang dianggotai sembilan orang dan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak sudah mula meneliti pelbagai aspek berkaitan insiden itu.

Menurutnya, pengendali atau 'hostler' yang terlibat juga diuji negatif dadah selain individu berkenaan turut perlu diberi peluang memberi keterangan tanpa sebarang prejudis.

Siasatan seterusnya akan meneliti tentang bagaimana dan mengapa perintang keselamatan dilanggar dan menyebabkan insiden itu serta mengemukakan syor keselamatan penuh untuk mengelak kejadian serupa berulang.

Beliau berkata jawatankuasa siasatan juga akan mendapatkan pandangan pihak luar yang memiliki kepakaran untuk membantu melengkapkan laporan akhir.