Wednesday, 23 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Solidariti untuk Palestin, semua masjid di Perlis teruskan bacaan Qunut Nazilah

  • Published in Semasa

ARAU, 14 Mei - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar semua masjid di negeri itu meneruskan bacaan Qunut Nazilah pada rakaat terakhir setiap solat fardu.

Pelaksanaan selama tujuh hari berturut-turut bermula solat Jumaat hari ini.

Sebelum ini, bacaan Qunut Nazilah pada rakaat terakhir solat lima waktu telah dilaksanakan selama dua hari dua malam iaitu pada 11 dan 12 Mei lalu.

Titah ini setelah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selepas meneliti perkembangan semasa mengenai tindakan serangan tentera Israel dan pendatang haram Yahudi ke atas rakyat Palestin.

Pencerobohan tentera Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa merupakan tindakan kejam lagi tidak berperikemanusiaan. 

Justeru, seluruh rakyat dipohon memperuntukkan doa sepertimana disediakan Jabatan Mufti Negeri Perlis demi kesejahteraan dan keselamatan buat masyarakat Islam di Palestin.