Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Cegah rentas daerah dan negeri, 37 'lorong tikus' di Terengganu akan dikawal ketat

  • Published in Covid19

KEMAMAN, 12 Mei - Polis Terengganu akan mengawal ketat kesemua 37 'lorong tikus' khususnya di sekitar sempadan negeri itu.

Ia bagi mengelakkan orang ramai mengambil kesempatan melakukan aktiviti rentas daerah dan negeri sempena sambutan perayaan Aidilfitri.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, setakat ini pihaknya telah mengenal pasti 37 'lorong tikus' menghubungkan negeri Terengganu dengan Pahang dan Kelantan iaitu di daerah Besut dan Kemaman.

Tindakan tegas akan diambil jika lorong tersebut masih digunakan.

Tambah Datuk Roslee, sebanyak 25 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di seluruh negeri itu bagi membantu meningkatkan kawalan pematuhan.

Tambah beliau, kadar aliran trafik yang memasuki Terengganu khususnya di Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT 2) turut menunjukkan penurunan kira-kira 12% berbanding 28% pada Sabtu lalu.

Ia menunjukkan pengguna jalan raya yang telah mula akur dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa di seluruh negara hari ini.