Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Misi repatriasi berjaya bawa pulang rakyat Malaysia dari India

  • Published in Covid19

PUTRAJAYA, 12 Mei - 124 rakyat Malaysia berjaya dibawa pulang ke tanah air dari New Delhi dan Mumbai, India menerusi misi repatriasi yang dilaksana Kementerian Luar.

Turut dibawa pulang, lapan warga Brunei.

Pesawat sewaan khas Malindo Air yang membawa kesemua 132 penumpang tiba di Unit Kecemasan Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pukul 1.00 pagi tadi.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dalam kenyataannya memaklumkan, para penumpang, kru dan petugas barisan hadapan yang terlibat dalam misi ini tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia termasuk mengemukakan keputusan ujian saringan COVID-19 yang disahkan negatif, tidak lebih daripada dua jam sebelum pelepasan.

Saringan kesihatan juga dilakukan KKM semasa ketibaan.

Mereka kemudiannya perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di pusat kuarantin ditetapkan kerajaan.

Tahap kesihatan akan dipantau secara berterusan sehingga tamat kuarantin.

Misi repatriasi ini dilaksana susulan trend penularan COVID-19 di India yang semakin membimbangkan.