Wednesday, 23 June 2021

updated 2:18 AM UTC, Jun 23, 2021

7 remaja berlumba haram,pamer aksi bahaya ditahan

  • Published in Semasa

PADANG BESAR, 11 Mei - Tujuh penunggang motorsikal yang sedang leka berlumba haram sambil mempamerkan aksi berbahaya ditahan polis di Mata Ayer, Padang Besar.

Kesemua mereka yang berusia antara 14 hingga 19 tahun itu ditahan Skuad 42 Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik-JSPT IPK Perlis dalam Ops Samseng Jalanan, awal pagi semalam.

Ketua JSPT Negeri,  Deputi Superintendan Rosmizan Abdul Wahab berkata, hasil pemerhatian hampir satu jam mendapati, kumpulan remaja ini menunggang motosikal secara berbahaya dan melulu sehingga boleh membahayakan nyawa orang lain.

Pasukan operasi bertindak menyerbu dan menahan kesemua remaja berkenaan dan siasatan mendapati empat daripadanya masih bersekolah.

Keempat-empat pelajar berkenaan dipercayai mengambil kesempatan cuti sekolah untuk melakukan kegiatan lumba haram.

Pihaknya turut mengeluarkan saman kepada suspek kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan trafik termasuk mengubah suai ekzos, tiada perlindungan insuran dan aksesori motosikal tidak lengkap.

Semua suspek direman tiga hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 46 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.