Wednesday, 23 June 2021

updated 2:18 AM UTC, Jun 23, 2021

Penguatkuasa Akta 446 masih dilaksana

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 11 Mei - Kementerian Sumber Manusia menafikan laporan portal yang mendakwa kementerian itu menggantung penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 atau Akta 446.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, penguatkuasaan akta itu masih berterusan dan kementerian sentiasa melaksanakan penguatkuasaan terhadap pematuhan SOP COVID-19, yang merangkumi sektor-sektor ditetapkan.

Bercakap pada sidang media di ibu negara, beliau menjelaskan, Akta 446 berkuat kuasa pada Jun 2020 dan majikan serta penyedia penginapan berpusat, diberikan tempoh bertenang selama tiga bulan, iaitu sehingga Ogos 2020, sebelum penguatkuasaan sepenuhnya akta itu pada September 2020.

Sehingga 8 Mei, 17,882 majikan telah diperiksa.

Sebanyak 706 kertas siasatan dibuka yang membawa kepada 121 izin dakwa dikeluarkan.

39 kertas siasatan daripadanya telah selesai dengan denda RM301,000.

Selain itu, 216 izin kompaun dikeluarkan dengan tawaran kompaun sebanyak RM1.35 juta selain 46 Arahan Pindah yang melibatkan 46 majikan dengan 1,962 pekerja.

Dalam pada itu, aplikasi ‘Working for Workers (WFW)’ yang dilancarkan pada 3 Mei, merekodkan 59 aduan sehingga kini.

Antara isu yang dibangkitkan ialah pemberhentian kerja tanpa notis, isu gaji, cuti rehat dan ketiadaan kontrak kerja.