Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Lapan ahli Abu Sayyaf ditahan

  • Published in Semasa

KOTA KINABALU , 10 Mei - Seramai lapan ahli kumpulan Abu Sayyaf warganegara Filipina termasuk dua yang dikehendaki pihak berkuasa, ditahan dalam operasi khas di Taman Sri Arjuna, Beaufort, Sabah, Sabtu lepas.

Penahanan dibuat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan anggota keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Jumlah itu termasuk dalam tangkapan 37 warga negara Filipina di kawasan paya bakau di Taman Sri Arjuna.

Dalam sidang media di Kota Kinabalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali memaklumkan, dua orang yang dikehendaki itu dipercayai pernah terlibat dalam pertempuran dengan pasukan Keselamatan Marin Filipina di Bud Bawis Complex, Panamao Sulu antara tahun 2011 dan November 2020.

Mereka turut terlibat dalam beberapa kes penculikan warga asing di Filipina. Kesemua tangkapan direman tujuh hari bermula 9 hingga 12 Mei.

Kes disiasat mengikut Akta Pertubuhan 1966, termasuk siasatan sama ada wujud sel tersendiri ISIS dan Abu Sayyaf di Sabah.