Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

1MDB dan SRC International Sdn. Bhd. kemuka 22 tuntutan sivil bernilai RM96.6 bilion terhadap beberapa individu dan organisasi

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 10 Mei - 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd mengemukakan 22 tuntutan sivil terhadap beberapa individu dan organisasi.

Secara keseluruhan, 1MDB dan SRC International Sdn Bhd menuntut lebih AS$23 bilion (RM96.6 bilion).

Tuntutan dibuat melalui tiga firma perundangan, iaitu Rosli Dahlan Saravana Partnership, Skrine & Co dan Lim Chee Wee Partnership pada Jumaat lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Selain Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak tirinya Riza Aziz, beberapa bekas pegawai kanan 1MDB seperti Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Arul Kanda Kandasamy dan Mohd Hazem Abdul Rahman turut dinamakan dalam tuntutan itu.

Juga disebut dalam saman ialah Low Taek Jho atau Jho Low, bapanya Tan Sri Larry Low Hock Peng, adiknya Low May Lin dan rakannya Eric Tan Kim Loong.

Institusi kewangan asing seperti Deutsche Bank (Malaysia) Ltd, Coutts & Co Ltd dan JP Morgan (Switzerland) Ltd juga disebut dalam tuntutan itu bersama PetroSaudi International Ltd dan pengasasnya Tarek Obaid.

Saman dikemukakan selepas mencapai penyelesaian dengan firma kewangan Goldman Sachs, AmBank dan Deloitte untuk menunjukkan bahawa kerajaan serius untuk mendapatkan kembali wang diseleweng dari 1MDB.

Deloitte pada Mac lalu memulangkan AS$80 juta kepada Putrajaya.

Sementara pada Ogos tahun lalu, Goldman Sachs memulangkan AS$2.5 bilion selain berjanji mendapatkan kembali aset 1MDB berjumlah AS$1.4 bilion yang disita pelbagai pihak berkuasa di seluruh dunia.

Manakala pada Februari lepas, AmBank bersetuju membayar RM2.83 bilion kerana peranannya dalam terbitan bon 1MDB pada tahun 2009.