Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Jangan tipu alasan dapatkan kebenaran rentas

  • Published in Covid19

ALOR SETAR, 10 Mei - Orang ramai khususnya anak perantau diingatkan supaya tidak menipu bagi mendapatkan kebenaran daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk melakukan pergerakan rentas negeri atau daerah semata-mata untuk pulang menyambut hari raya Aidilfitri di kampung halaman.

Perbuatan tersebut dikhuatiri boleh mengundang pelbagai risiko bukan sahaja kepada ahli keluarga dan sanak saudara di kampung, malah penduduk setempat.

Pengerusi Pertubuhan Melayu Nusantara (PENGGERAK) Kedah, Doktor Kamarul Azman Khamis berkata, kebelakangan ini terdapat pihak tertentu yang sengaja mereka-reka alasan semata-mata mahu mendapatkan kebenaran rentas sempadan.

Sehubungan itu, orang ramai perlu lebih bertanggungjawab dan bersama-sama dengan kerajaan dalam mencegah dan mengekang penularan wabak COVID-19 yang kini mencecah angka lebih 4,000 kes positif harian.

Beliau yakin, pihak polis akan melakukan penelitian yang rapi sebelum meluluskan sebarang permohonan rentas sempadan.

Beliau bercakap kepada RTM di Alor Setar.

Sabtu lalu, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan mengumumkan, semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran PDRM di seluruh negara tidak dibenarkan berkuat kuasa esok hingga 6 Jun ini.