Wednesday, 23 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

KPDNHEP tingkat pemantauan bekalan,harga berikutan penutupan Pasar Borong KL

  • Published in Semasa

PUTRAJAYA, 9 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meningkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap rantaian bekalan barangan berikutan penutupan Pasar Borong Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 16 Mei.

Menteri, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, pihaknya akan menilai situasi bagi memastikan bekalan barangan mencukup selain harga barang juga tidak terjejas menjelang Aidilfitri.

Menerusi kenyataan, KPDNHEP akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan juga persatuan-persatuan peniaga yang terlibat dalam isu ini.

Walaupun insiden ini bukan kali pertama berlaku, situasi ini perlu ditangani dengan baik supaya ia tidak dijadikan alasan untuk menaikkan harga barang-barang tertentu.

Sebelum ini dilaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memutuskan menutup operasi bahagian ikan di pasar borong itu berikutan beberapa kes COVID-19 membabitkan operator dan pekerja di pasar berkenaan.

Menteri turut menyeru pengguna agar terus menjadi mata dan telinga KPDNHEP serta menyalurkan maklumat berkaitan salah laku peniaga yang melanggar undang-undang di bawah bidang kuasa kementerian itu secara rasmi.