Saturday, 15 May 2021

updated 1:44 PM UTC, May 15, 2021

COVID-19 di Kelantan: 7 kluster libatkan sektor pendidikan

  • Published in Berita Semasa

KOTA BHARU, 21 April- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesan tujuh kluster sekolah melibatkan sekolah rendah dan menengah di bawah Kementerian Pendidikan dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) di seluruh Kelantan.

Menurut Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin, menerusi data sepanjang dua minggu sehingga 16 April lepas, sebanyak 30 peratus kes aktif melibatkan warga sekolah termasuk pelajar, guru dan kakitangan sekolah.

Katanya, kluster itu bermula daripada komuniti, majlis perkahwinan yang dihadiri oleh guru, pelajar dan kakitangan sekolah lain.

Semalam, JKNK melaporkan sejumlah 300 kes positif membabitkan warga sekolah termasuk guru dan pelajar.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) sudah penuh dan melepasi kapasiti.

Ia susulan kes meningkat tiga angka sehari sejak beberapa hari lalu.

Setakat ini terdapat enam PKRC masing-masing empat di Kota Bharu, satu di Kuala Krai dan satu di Tumpat.

Dalam pada itu, hari ini, tular video berdurasi 24 saat orang ramai beratur bagi menjalani ujian calitan COVID-19 di pusat sampel COVID-19 Madinah Ramadan, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.