Saturday, 15 May 2021

updated 2:37 PM UTC, May 15, 2021

Mesyuarat Pemimpin ASEAN: 3 Resolusi berkaitan Myanmar bakal dimuktamadkan

  • Published in Berita Semasa

PUTRAJAYA, 21 April - Tiga resolusi berkaitan Myanmar bakal dimuktamadkan pada Mesyuarat Pemimpin ASEAN di Sekretariat ASEAN Jakarta, Indonesia Sabtu ini yang turut dihadiri Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan, menerusi mesyuarat ini, para pemimpin tertinggi blok berkenaan dijangka membincangkan situasi semasa di negara tersebut serta memperhalusi isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Beliau memberitahu media pada majlis berbuka puasa bersama warga Kementerian Luar di Putrajaya.

Mesyuarat Pemimpin ASEAN ini merupakan yang pertama akan diadakan secara bersemuka sejak setahun lalu ekoran pandemik COVID-19.

Tan Sri Muhyiddin menerima jemputan khas daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sendiri pada 17 April lalu.

Datuk Seri Hishammuddin turut memaklumkan, pada mesyuarat ini, Perdana Menteri akan mengulangi pendirian tegas dan konsistan negara berkaitan situasi semasa di Myanmar selari dengan kenyataan beliau sebelum ini.