Logo

Melepas rindu Ramadan di luar 'tirai besi'

MACHANG, 20 April - Dua dekad menjadi penghuni sebalik tirai besi, Che Sabri Che Jaafar, pasti dirundung hiba ketika mendengar laungan azan menandakan waktu berbuka puasa.

Namun perasaan yang dilalui bekas banduan Al-Ma'unah itu tahun ini amat berbeza apabila dirinya, kini dapat mengulang kembali nikmat Ramadan yang lama dirindui bersama ibunya, Rohmah Karim, 79 tahun dan keluarga tercinta dalam suasana penuh kebebasan di luar tembok tinggi.

Che Sabri, 51 tahun, yang telah menjalani hukuman selama 20 tahun di penjara dibebaskan pada 17 Ogos tahun lepas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, bersyukur dapat melepaskan kerinduan untuk mengulang kenangan berpuasa di kampung.

Anak ketujuh daripada 10 beradik itu mengakui lebih menggembirakan apabila berpeluang untuk memasak pelbagai juadah kegemarannya termasuk nasi kerabu untuk juadah berbuka puasa.

Che Sabri kini sedang mengusahakan sebuah kedai jahit pakaian lelaki yang dinamakan, CSCJ Tailor yang dibuka pada Oktober tahun lepas dan kini hampir tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

Dirinya, turut memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang jahitan ketika berada di penjara itu turut berhasrat mengembangkan kedai jahitannya.

Che Sabri antara 13 penghuni penjara yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dikurniakan pembebasan awal sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 tahun lepas.

Dia dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat sejak 2000 mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pertubuhan Al-Ma'unah.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.