Logo

Pegawai polis mengaku tidak bersalah dua pertuduhan rasuah

AYER KEROH, 20 April - Seorang pegawai polis berpangkat inspektor mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menerima rasuah RM6,200 bagi menyelesaikan kes daun ketum dan rokok seludup dua tahun lepas.

Tertuduh, Kalvinderjit Singh, 34 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan, di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh.

Mengikut pertuduhan pertama, Kalvinderjit Singh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin didakwa menerima suapan RM5,000 daripada Mohd Haddafi Mokhtar Ruzaini bagi menyelesaikan kes rokok seludup.

Perbuatan itu dilakukan antara 11:30 malam hingga 2:00 pagi pada 8 dan 9 Mac 2019.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan RM1,200 daripada Mohd Haddafi bagi menyelesaikan kes daun ketum pada masa dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stok.

Hakim Elesabet, kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 terhadap kedua-dua pertuduhan.

21 Mei ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.