Logo

Proklamasi Darurat: Jangan buat tafsiran ikut selera sendiri

KUALA LUMPUR, 20 April - Majlis Peguam Malaysia serta semua pengamal undang-undang disaran bertindak mengikut lunas undang-undang termasuk ketika memberi kefahaman serta pencerahan sesuatu perkara kepada masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Parlimen dan Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan dukacita apabila terdapat sesetengah pihak cuba membuat tafsiran tentang undang-undang mengikut selera sendiri, seolah-olah bertujuan meraih populariti dalam kalangan rakyat.

Menerusi kenyataan beliau berkata, sebagai badan profesional , Majlis Peguam diyakini tetap mendokong prinsip keadilan dan kedaulatan negara serta akan terus menentang usaha-usaha memesongkan kehendak undang-undang.

Ia terutamanya ketika negara sedang berada dalam keadaan getir dengan penularan berterusan wabak COVID-19.

Pada masa ini, negara berada dalam suasana darurat dari segi undang-undang apabila Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan.

Maka berdasarkan peruntukan Perkara 150(1), Baginda telah mengisytiharkan Proklamasi Darurat pada 11 Januari berkuatkuasa sehingga 1 Ogos depan.

Untuk itu diharap langkah kerajaan yang menumpukan aspek-aspek kesihatan, ekonomi dan sosial difahami sepenuhnya demi kebaikan individu, komuniti dan negara keseluruhannya.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.