Wednesday, 12 May 2021

updated 1:18 PM UTC, May 11, 2021

Anggota polis berhasrat kahwin lebih daripada satu, perlu izin Ketua Jabatan

  • Published in Berita Semasa

ALOR SETAR, 14 April - Pegawai dan anggota polis yang berhasrat untuk berkahwin lebih daripada satu perlu memperoleh kebenaran dan keizinan secara bertulis daripada Ketua Jabatan masing-masing.

Keizinan itu penting bagi mengelak mereka dikenakan tindakan disiplin atau boleh dianggap sebagai ingkar arahan Ketua Polis Negara.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pegawai polis yang bertindak berkahwin di luar kawasan atau luar negara juga berdepan dengan tindakan displin.

Justeru, Datuk Hasanuddin menasihatkan mereka yang akan mendirikan rumahtangga sama ada kali pertama atau kedua supaya mendapatkan keizinan Ketua Jabatan masing-masing.

Arahan tersebut juga terpakai bagi mereka yang bukan beragama Islam.

Tapisan terhadap permohonan akan dibuat sebelum ia diluluskan.

Datuk Hasanuddin bercakap kepada RTM, selepas merasmikan Kuliah Ramadan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar.

Program turut dihadiri Pengarah Penyiaran Kedah, Sharimah Abu Bakar.

Program Kuliah Ramadan terbitan Radio Malaysia KEDAHfm akan ke udara setiap hari sehingga 10 Mei.