Friday, 14 May 2021

updated 2:56 PM UTC, May 14, 2021

Pegawai baitumal didakwa terima suapan, salah guna harta milik MAINS

  • Published in Berita Semasa

SEREMBAN, 14 April - Berdepan tuduhan menerima suapan dan salah guna harta milik Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), seorang pegawai baitulmal didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban.

Tertuduh, Mohd Hasbollah Ahmad, 36 tahun mengaku tidak bersalah ketika tuduhan dibacakan dihadapan hakim, Madihah Hairullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Pejabat Baitulmal daerah Kuala Pilah didakwa menggunakan jawatan untuk mendapat suapan dengan mengesahkan permohonan melaksana kerja pembekalan cenderahati oleh sebuah syarikat.

Kesalahan dilakukan pada 5 Jun 2017 di Pejabat Baitulmal daerah Kuala Pilah.

Kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta milik MAINS pada Jun 2017 di lokasi sama melibatkan jumlah wang sebanyak RM4,178.

Kesalahan dilakukan di bawah seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.