Friday, 14 May 2021

updated 2:56 PM UTC, May 14, 2021

Jenazah Muhammad Hafidz Abdullah selamat pulang dan dikebumikan

  • Published in Berita Semasa

SEREMBAN, 14 April- Jenazah penuntut Malaysia, Muhammad Hafidz Abdullah yang meninggal dunia selepas menerima rawatan selama empat hari di unit rawatan kritikal sebuah hospital di United Kingdom, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Senawang kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Allahyarham yang juga kakitangan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia itu dikebumikan di kampung halaman isterinya, Nazihahwati Mohiddin.

Allahyarham Muhammad Hafidz, 36 tahun, merupakan penuntut tahun kedua pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di University of Sheffield, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11:35 pagi pada 8 April lepas, setelah isterinya membuat keputusan membenarkan pihak hospital Northern General Hospital di Sheffield mematikan alat bantuan pernafasan atas nasihat pasukan perubatan.

Allahyarham dilaporkan tiba-tiba pengsan semasa bermain bola di Pusat Sukan Goodwin di Sheffield pada 4 April lalu.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang oleh Kerajaan Malaysia, dan tiba semalam sebelum disembahyangkan di Masjid Negeri, Seremban kira-kira pukul 7:00 malam.