Wednesday, 21 April 2021

updated 7:33 AM UTC, Apr 21, 2021

Perlu jalani ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum perjalanan masuk ke Borneo

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 4 Mac - Semua individu yang akan memasuki Sabah, Sarawak dan Labuan perlu menjalani ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum perjalanan setelah mendapat kebenaran Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun ujian calitan tidak perlu dilakukan bagi pergerakan keluar dari dua negeri dan wilayah tersebut ke Semenanjung Malaysia.

Beliau menjelaskan kos saringan ujian COVID-19 dan kos kuarantin bagi rakyat Sarawak bakal ditanggung kerajaan negeri itu sementara yang bukan rakyat Sarawak perlu menanggung sendiri kedua-dua kos berkenaan.

Hanya individu dengan keputusan ujian saringan negatif dan tidak bergejala sahaja dibenarkan masuk ke Labuan dan tidak perlu menjalani kuarantin.

Larangan rentas daerah juga katanya, masih dikekalkan di Sabah dan Sarawak walaupun berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).