Wednesday, 21 April 2021

updated 7:33 AM UTC, Apr 21, 2021

Pemandu mabuk berdepan hukuman penjara

  • Published in Berita Semasa

 

KUANTAN, 4 Mac - Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan, atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian seorang pekerja kilang di Jalan Sungai Lembing pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mandave Singh Kulwant, 26 tahun mengaku tidak bersalah sebaik tuduhan dibacakan.

Tertuduh didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, Muhammad Akmal Hakim Misnan, 22 tahun.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 hingga 15 tahun serta denda tidak melebih RM100,000.

Mahkamah membenarkan Mandave diikat jamin RM10,000 dengan dua orang penjamin dan mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 April.