Wednesday, 21 April 2021

updated 7:07 AM UTC, Apr 21, 2021

Runtuhan Pembinaan SUKE: Pemandu Treler positif dadah

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 4 Mac - Polis mengesahkan pemandu treler yang melanggar tapak pembinaan lebuhraya bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Desa Tun Razak menghala ke Ampang, Kuala Lumpur semalam positif dadah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata, pemandu treler berusia 40 tahun itu didapati positif methamphetamine selepas ujian saringan air kencing di Ibu Pejabat Polis Daerah Daerah Dang Wangi.

Beliau berkata, insiden itu menyebabkan pemandu van kilang, Muhd Fairus Mohd Yusof, 47 tahun, patah tulang bahu kiri, bengkak pada paru-paru dan mengalami pendarahan dalaman.

Dua lagi penumpang van terbabit, iaitu Zaitun Zainal, 54 tahun cedera kaki kiri manakala Zakiyyah Yakop, 51 tahun pula cedera betis kiri.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Nurina Edwin Abdullah, 47 tahun dan Norhayati Abdullah, 42 tahun.

ACP Zulkefly berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika treler itu melalui Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Setiba di lokasi, ia melanggar kerangka besi pada pembinaan di jejantas pejalan kaki menyebabkan rusuk keluli bersama perancah besi runtuh.

Runtuhan itu menghempap van kilang dari laluan Ampang menghala ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Pemandu treler akan direman mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.