Logo

Lima pindaan Akta 342 demi pertingkat keberkesanan penguatkuasaan bendung COVID-19

PUTRAJAYA, 3 Mac- Lima pindaan dilakukan ke atas Akta 342 untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan membendung pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia termasuk pindaan terhadap penalti am di bawah Seksyen 24.

"Dalam Seksyen 24 Akta 342, tidak dinyatakan jumlah denda."

"Jadi apabila kes dibawa ke mahkamah, biasanya akan di bawa ke Mahkamah Majistret, yang mana bidang kuasa mengenakan denda sebanyak RM25,000."

"Tetapi pindaan telah dibuat dalam Seksyen 24 di mana denda yang dikenakan adalah berjumah RM100,00."

"Ini bermakna kes yang berkaitan COVID-19 tidak lagi akan di bawa ke Mahkamah Majistret, sebaliknya akan dibawa ke mahkamah yang lebih tinggi iaitu Mahkamah Sesyen."

Pindaan lain melibatkan Seksyen 2 (1), tafsiran pegawai diberi kuasa dengan memasukkan mana-mana Pegawai Kesihatan Persekitaran untuk disesuaikan dengan skim perkhidmatan sedia ada.

Seksyen 2 (1) mengenai Tafsiran Pegawai Kesihatan Persekitaran turut dipinda dengan nama jawatan Pegawai Kesihatan Persekitaran menggantikan Inspektor Kesihatan yang digunakan sejak tahun 2003.

Selain itu, pindaan Seksyen 10, membolehkan pengamal perubatan memberitahu wujudnya apa-apa penyakit berjangkit di mana-mana premis walaupun tanpa pengesahan ujian makmal.

Manakala yang terakhir, pindaan Seksyen 25, yang memberi kuasa kepada pegawai badan berkanun atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengeluarkan kompaun bagi setiap kesalahan.

 

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.