Wednesday, 21 April 2021

updated 9:05 AM UTC, Apr 21, 2021

Kontroversi transgender dan murtad, selebriti perlu henti keliru masyarakat

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 3 Mac - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah menegaskan, pihaknya memandang serius kenyataan kontroversi dua selebriti membabitkan status gender dan agama.

Kenyataan berkaitan agama sama ada bersifat peribadi ataupun secara umum tidak harus dikeluarkan sewenang-wenangnya.

Menerusi satu kenyataan jelasnya, perkara tersebut boleh mengelirukan segelintir masyarakat dengan beranggapan bahawa kedua-dua perbuatan tersebut adalah normal dan tidak menyalahi agama.

Beliau terpanggil untuk menzahirkan pandangan yang membabitkan tindakan seorang artis yang mendakwa dirinya transgender dan tanpa segan silu menzahirkan rasa bangga mengakui perkara tersebut.

Begitu juga kenyataan seorang usahawan kosmetik yang menyatakan niat untuk menukar agama.

Beliau turut menyeru rakyat agar menghormati norma kehidupan di negara ini yang sentiasa memelihara kesopanan dan perbezaan gender.

Umat Islam diingatkan agar menghormati perlembagaan serta undang-undang yang telah ditetapkan khususnya yang berkaitan dengan jenayah syariah.