Saturday, 6 March 2021

updated 2:25 PM UTC, Mar 6, 2021

Rakyat Malaysia yang layak disaran mendaftar sebagai penerima

  • Published in Berita Semasa

PUTRAJAYA, 21 Feb - Perdana Menteri berharap rakyat Malaysia yang layak mendapat suntikan vaksin COVID-19, mendaftar sebagai penerima apabila pendaftaran dibuka dan mendapatkan suntikan seperti yang dijadual.

Vaksinasi itu, penting bagi mencapai sasaran Malaysia untuk membentuk imuniti berkelompok dengan memastikan 80 peratus penduduk dewasa, menerima vaksin berkenaan.

Menerusi hantaran di laman facebook, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia secara langsung dapat membendung penularan jangkitan COVID-19.

Tan Sri Muhyiddin turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airlines dalam memastikan ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech ke Malaysia.

Malaysia melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula Rabu ini melalui tiga fasa, dengan fasa pertama melibatkan 500,000 petugas barisan hadapan yang dijadualkan sehingga April depan.

Fasa kedua yang akan bermula April hingga Ogos depan, dikhususkan untuk 9.4 juta warga emas berusia 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga pula, kepada penduduk Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing, dengan sasaran lebih 13.7 juta orang bermula Mei ini hingga Februari tahun depan.