Sunday, 17 January 2021

updated 1:18 PM UTC, Jan 17, 2021

Operasi TNB berjalan seperti biasa, tiada pemotongan bekalan elektrik sepanjang PKP

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 13 Jan - Operasi Kedai Tenaga dan bacaan meter elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad, TNB akan berjalan seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Darurat dan PKP dengan pematuhan SOP yang ketat.

Menerusi satu kenyataan, Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah turut memaklumkan tiada pemotongan bekalan elektrik akan dilaksanakan TNB sepanjang tempoh PKP, demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan pengguna.

Selain itu, semua perkhidmatan pembekalan elektrik seperti penyambungan bekalan baharu, pembaikan kerosakan dan perkhidmatan pelanggan TNB CareLine serta Facebook TNB CareLine turut berjalan seperti biasa.

Pengguna disaran memanfaatkan Program SAVE 2.0 untuk mendapatkan e-rebat sebanyak RM200 bagi membeli penyaman udara dan peti ais cekap tenaga sebagai langkah untuk menjimatkan bil elektrik di rumah masing-masing.

Berdasarkan pelaksanaan PKP terdahulu, penggunaan elektrik isi rumah dijangka meningkat dalam tempoh PKP kali kedua ini, berikutan arahan bekerja dari rumah dan sesi pembelajaran secara dalam talian, bagi pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.