Monday, 18 October 2021

updated 4:33 AM UTC, Oct 18, 2021

Agong perkenan pengisytiharan proklamasi darurat

  • Published in Semasa

Kuala Lumpur, 12 Januari - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos depan atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara memaklumkan Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan serta yang berkaitan.

Jawatankuasa itu antara lain akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat dapat ditamatkan lebih awal.

Kenyataan turut menyebut perkenan itu telah mengambil kira rundingan Seri Paduka bersama Raja-Raja Melayu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang semalam telah menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berhubung cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat ketika menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada pada tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Al-Sultan Abdullah turut menitahkan rakyat supaya berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan semua perintah ditetapkan kerajaan dan agensi yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan PKP.