Saturday, 24 October 2020

updated 12:04 PM UTC, Oct 24, 2020

Peruntukan Rehabilitasi Sungai Kim Kim dijangka bermula November ini

  • Published in Berita Semasa

JOHOR BAHRU, 22 September - Peruntukan bagi program Rehabilitasi Sungai Kim Kim di Pasir Gudang yang dijangka bermula November ini akan dicadangkan untuk dibawa pada Belanjawan Johor 2021.

Ia akan disampaikan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad memandangkan kerajaan negeri memandang serius isu pencemaran dan pemuliharaan sungai di negeri itu selepas tragedi pencemaran Sungai Kim Kim pada 7 Mac tahun lalu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, R.Vidyanathan berkata sehingga kini jumlah peruntukan diperlukan dan yang akan dibelanjakan belum dapat diumumkan berikutan projek jangka panjang tersebut mempunyai beberapa fasa.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Syarahan Perdana Penyelidikan Translasional di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Syarahan Perdana berkenaan disampaikan oleh Profesor Dr. Abdul Rahim Mohd Yusoff mengenai penyelidikan pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.

Projek University For Society (U4S) bagi Rehabilitasi Sungai Kim Kim dijangka memakan masa sekitar dua hingga tiga tahun.

Ia akan mula dilaksana November depan melibatkan empat universiti tempatan termasuk UTM, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Universiti Sains Islam Malaysia.