Saturday, 24 October 2020

updated 12:04 PM UTC, Oct 24, 2020

PKPD secara pentadbiran di Kota Setar tamat 25 September

  • Published in Berita Semasa

JITRA, 21 September - Kerajaan negeri Kedah tidak berhasrat menyambung Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Daerah Kota Setar yang akan berakhir pada 25 September ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri akan merujuk kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terlebih dahulu sebelum membuat cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sama ada untuk meneruskan atau menamatkan PKPD Secara Pentadbiran.

Jika terdapat penduduk yang dikuarantin di daerah itu positif COVID-19 selepas saringan hari ke-13, kemungkinan PKDP Secara Pentadbiran disambung tidak dapat dielak seperti mana yang berlaku di Zon Melor, Amanjaya baru-baru ini.

Cara untuk mengekang penularan COVID-19 ketika ini adalah menerusi pelaksanaan PKPD selain mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Maahad Tahfiz Darul Ulum Ar-Rahimiyah di Jitra yang terlibat dalam kebakaran, Jumaat lalu.

Maahad tahfiz terbabit terbakar pukul 1.23 tengah hari Jumaat lalu mengakibatkan kerugian lebih RM100,000.