Friday, 25 September 2020

updated 2:03 PM UTC, Sep 25, 2020

PM terima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat dan Timbalan KPN

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat yang baharu, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain di pejabatnya di bangunan Parlimen, pagi tadi.

Ia kunjungan rasmi pertama Jeneral Datuk Zamrose selepas beliau dilantik sebagai PTD Ke-28, berkuatkuasa 11 Jun lepas.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Jeneral Datuk Zamrose dapat memacu Angkatan Tentera Darat ke tahap lebih tinggi.

Pada masa sama, membantu memperkukuhkan lagi kesiapsiagaan pertahanan negara dalam mendepani isu keselamatan yang semakin kompleks.

Jeneral Datuk Zamrose menggantikan Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi yang bakal bersara wajib pada November depan.

Menerusi catatan di laman Facebook rasminya, Tan Sri Muhyiddin turut memaklumkan, beliau menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor yang dijadual menamatkan perkhidmatan, Jumaat ini.

Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada Datuk Mazlan, atas khidmat bakti yang dicurahkan, sejak menyertai pasukan polis pada 1979.