Tuesday, 22 September 2020

updated 9:44 AM UTC, Sep 22, 2020

5 parah dalam kemalangan libat 4 kenderaan

  • Published in Berita Semasa


ALOR GAJAH, 8 Ogos- 
Lima cedera parah dalam kemalangan di kilometer 222.7 Lebuhraya PLUS arah Selatan yang melibatkan empat kenderaan termasuk sebuah treler, malam tadi.

Kemalangan berlaku berhampiran susur keluar Simpang Ampat membabitkan tiga kenderaan lain jenis Toyota Hilux, Nissan Grand Livina dan Honda Jazz.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Polis (DSP) Anuar Bakri Abdul Salam, berkata, kesemua mangsa kini dirawat di Hospital Alor Gajah.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku selepas treler yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke arah Melaka, berada di lorong kiri lebuh raya sebelum hilang kawalan hingga terbalik dan melintang di tengah-tengah lebuh raya itu.

Ini menyebabkan tiga kenderaan yang datang dari arah sama, tidak sempat mengelak, merempuh bahagian badan treler tersebut.

Akibat kemalangan itu, pemandu dan tiga penumpang Honda Jazz serta pemandu Toyota Hilux cedera parah manakala pemandu Nissan Grand Livina dan treler itu tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.